Mitos hantu yang sangat popular dalam kepercayaan masyarakat kaum Bajau ialah Balan-balan bukan Thanabalan ya hehehehe terima kasih kepada Thnabalan kerana gol last minute!
Suku kaum Bajau Pantai Timur menyebutnya balbalan, manakala suku kaum Melayu di Semenanjung Malaysia, menyebut balan-balan sebagai Hantu Penanggalan atau Tenggelong.
Namun begitu, Penanggalan atau Tenggelong tidak menyerang mayat untuk mendapatkan makanan. Terdapat beberapa jenis Balan-balan, antaranya tidak berbaju, terbang kepala, panjang rambut dan tekakak (kepala kebelakang). Suku kaum Bajau percaya Balan-balan sebenarnya ialah manusia. Menurut cerita orang tua-tua Bajau, balan-balan terjadi apabila manusia itu salah menuntut dan mengamalkan ilmu kebatinan.
Tujuan ilmu ini diamalkan adalah untuk mengekalkan kecantikan, awet muda serta bertujuan untuk memanjangkan usia. Manusia yang ingin mengamalkan ilmu ini dikatakan akan mengamalkan jampi mantera ilmu balan-balan selama empat puluh hari empat puluh malam berturut-turut. Kemudian, badan pengamal ilmu hitam ini akan terasa panas dan miang. Pada saat itulah, kepalanya tercabut dan terpisah darpada tubuh badan sambil membawa keluar segala isi tubuh dan perut.
Selain itu, mereka juga mempercayai sesetengahnya diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi. Dikatakan mereka yang mengamalkan ilmu balan-balan atau mewarisi ilmu balan-balan ini dapat dikenalpasti melalui matanya. Biasanya, mata mereka sentiasa berwarna merah dan akan berair apabila didekatkan dengan hirisan limau nipis. Pengamal ilmu balan-balan dipercayai tidak suka pada benda berduri dan tajam kerana dipercayai akan mencederakan isi perut balan2 tersebut. Justeru, di halaman rumahnya tidak terdapat pokok yang berduri seperti pokok limau dan benda-benda tajam seperti buluh. Disekitar leher mereka dikatakan mempunyai 2 garisan yang melingkari leher dan daging diantara 2 garisan tersebut lebih tebal berbanding daging disekitarnya.
Rumah pengamal ilmu balan-balan ini pula biasanya mempunyai lubang di sudutnya bagi memudahkannya keluar pada waktu malam. Dikatakan, balan-balan bergerak bebas seperti manusia biasa pada siang hari serta menjalankan aktiviti harian mereka seperti manusia biasa. Hanya apabila terdapat kematian atau kelahiran dikawasan berhampiran, baharulah mereka akan bertukar menjadi balan-balan. ‘Mereka’ dikatakan akan berjalan pada waktu malam atau subuh, dalam bentuk jasad manusia. Balan-balan akan mencuri bayi yang baru dilahirkan, terutamanya bayi yang masih mempunyai tali pusat yang belum dipotong. Mereka akan hadir di rumah si mati untuk mencuri jasad si mati dengan cara menjulurkan lidahnya dari bumbung atau bawah rumah. Setelah mencuri jasad tersebut, balan-balan akan menggantikan jasad si mati tadi dengan batang pisang. \
Dalam kepercayaan suku kaum Irranun, balan-balan akan menggolek-golekkan jasad si mati di dalam perahu untuk menukarkannya menjadi ikan. Kepercayaan ini mungkin disebabkan oleh faktor pekerjaan suku kaum ini yang majoritinya bekerja sebagai nelayan. Berbeza dengan kepercayaan suku kaum bajau dan dusun tindal, mereka mempercayai bahawa balan-balan akan memakan mayat tersebut dan memakan tali perut si mati atau bayi tersebut. Selain mencuri bayi dan mayat, balan-balan juga dikatakan gemar menjilat darah pada uri perempuan bersalin. Balan-balan ini akan berada di bawah rumah dan kehadiran entiti ini biasanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Hal ini menyebabkan si ibu akan kehilangan banyak darah dan mengalami kesukaran untuk melahirkan bayi tersebut. Namun sekiranya balan-balan gagal mendapatkannya, balan-balan akan menyerang dan menghisap darah manusia. Sekiranya masih gagal menghisap darah manusia, balan-balan akan menyerang mayat manusia dan memakan segala organ dalam tubuh mayat itu, terutama hati.
Kemunculan balan-balan di sesuatu tempat dipercayai akan diiringi dengan hilai tawa seperti suara seekor kuda tetapi lebih nyaring. Bunyi hilai tawa yang kuat menandakan balan-balan tersebut berada jauh dari tempat orang yang mendengarnya, namun bunyi hilai tawa yang sayup-sayup kedengaran atau seolah-olah berada di tempat yang jauh, bermakna balan-balan itu berada di kawasan yang berhampiran. Terdapat beberapa perkara yang diamalkan oleh suku kaum Bajau bagi mengelakkan kehadiran balan-balan disesuatu kawasan. Misalnya, bagi rumah yang mempunyai tiang, air limau akan diletakkan di tempat tertentu, manakala buah limau atau daun limau pula akan diletakkan di bawah rumah. Bagi rumah yang tidak bertiang, buah limau dan daun limau akan diletakkan disekitar jasad bayi atau mayat, serta tuan rumah biasanya akan memasang api disekeliling rumah. Hal ini demikian kerana, balan-balan dipercayai takut akan air dan bau limau serta api.
Hantu Penanggal Ataupun Lebih Dikenali Sebagai Balan Balan
Reviewed by Unknown
on
September 03, 2017
Rating:
No comments: