banner image

Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 1


Tips Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 1 – Aku percaya ramai orang di luar sana yang nak berkahwin mesti mengeluarkan modal yang besar kerana ingin mengikut trend masa kini yang semakin hari semakin merapu. Ada juga yang berkahwin menggunakan modal yang besar untuk melawan jiran tetangganya yang membuat majlis yang besar sedangkan dirinya tidak mampu untuk melakukan sedemikian rupa. Jarang untuk berjumpa dengan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan mengurangkan kos perkahwinan.

Di sini aku ingin berkongsi sedikit tips dan nasihat bagaimana untuk kurangkan kos perkahwinan yang saban tahun semakin meningkat sehingga tidak masuk akal. Perkongsian ini juga untuk diri aku yang sukar untuk menentukan kos kahwin yang sebenar. Aku harap dengan perkongsian ini dapat membantu aku dan diri anda juga yang ingin melangsungkan perkahwinan.

1. Majlis Yang Ringkas Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan

Untuk kurangkan kos perkahwinan, kita dinasihatkan untuk membuat majlis yang ringkas tetapi masih meriah. Kita tidak perlu menyediakan pelamin, dekorasi bilik pengantin, makan beradab, upacara potong kek, ataupun acara memakai baju kot dan gaun. Khemah yang disediakan pula dihadkan kepada 1 buah sehingga 3 buah sahaja bergantung pada  bilangan tetamu yang dijemput.


Pernah tengok pada suatu masa dahulu ada artis malaysia yang berkahwin menggunakan gaya masyarakat Kristian di barat. Tersebar luas di siaran-siaran televisyen, akhbar, dan juga majalah. Akhirnya, perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian. Ratusan ribu ringgit dibelanjakan untuk majlis perkahwinan yang tidak membantu membahagiakan ataupun memperkukuhkan lagi ikatan perkahwinan itu.

2. Bilangan Tetamu Jemputan Mengikut Bajet Perkahwinan

Walaupun kita menjemput 10,000 orang tetamu, jurugambar kita tidak mampu mengambil gambar semua tetamu. Secara purata, 5 hingga 7 sahaja wajah yang akan terpapar di dalam setiap keping gambar. Ini sudah pasti tidak menunjukkan jumlah tetamu yang hadir adalah 10,000 orang.

Oleh itu, jemputan yang bagus antara 40 orang jiran, ditambah 150 orang, saudara-mara terdekat dan rakan terdekat. Tidak perlu menjemput semua orang yang kita kenal. Ada juga rakan aku yang berkahwin, menjemput sekitar 40 orang sahaja, iaitu jiran dan saudara terdekatnya sahaja.


Kos perkahwinan juga berkurangan kerana menggunakan 2 khemah sahaja kerana menjemput jiran tetangga dan saudara terdekat dan kawan terdekat. Alhamdulillah, majlis perkahwinan tetap meriah kerana kita sempat beramah mesra dengan hampir setiap tetamu yang hadir. Kita mempunyai banyak masa kerana bilangan tetamu adalah terhad.

3. Baju Pengantin Yang Kurangkan Bajet Perkahwinan

Sebagai bakal pengantin mesti kita akan rasa nak pakai baju pengantin baru. Sediakan dua pasang baju apabila tetamu datang kenduri, iaitu baju akad nikah dan baju apabila datang selepas majlis. Sekiranya pengantin lelaki, kita sesuai memakai baju Melayu. Pinjam samping daripada adik-beradik ataupun saudara-mara. Tidak perlu dibeli kerana dikhuatiri akan membazir. Apatah lagi sekiranya kita tidak selalu pergi ke majlis rasmi yang memerlukan baju Melayu lengkap.


Untuk pakaian pengantin perempuan, dua pasang baju kurung sudah mencukupi. Sekiranya ingin lebih selesa, sediakan tiga pasang baju kurung baru, iaitu baju ketiga sebagai back up, sekiranya ada perkara di luar perancangan berlaku. Jika kakak ataupun abang masih ada baju kahwin, pinjam daripada mereka sudah tentu percuma.

4. Gambar Majlis Perkahwinan

Aku nak tanya sikit pada pasangan yang dah berkahwin. Gambar perkahwinan selepas 1o tahun ada kat mana? Yela dalam album, tapi album majlis perkahwinan tu letak kat mana? Biasanya gambar perkahwinan yang kita simpan sehingga ke anak cucu adalah hanya gambar akad nikah dan gambar selepas akad nikah bersama keluarga kedua-dua belah pihak. Gambar lain, sebahagiannya mungkin akan hilang, koyak, dan rosak. Betul tak? Sekiranya CD mungkin tidak digunakan lagi pada zaman akan datang.

Mungkin kita hanya menonton CD pada hujung minggu pertama berkahwin, dan bulan pertama untuk sahabat handai yang datang berziarah. Selepas itu, tiada siapa yang mahu melihat CD itu termasuk kita sendiri. Tetapi, mengapa promosi gambar-gambar kahwin semakin bertambah? Itu adalah satu daripada cara ataupun seni memindahkan duit daripada poket kita kepada poket jurugambar.

Itu belum termasuk gambar-gambar kahwin yang tidak menjadi ataupun tersalah cetak atas nama orang lain. Sekiranya kita teringin mempunyai gambar kahwin yang cantik, dicadangkan, ambil gambar di dalam studio dan jadikannya sebagai kenangan.

Kita juga dapat melihat, individu yang baru berkahwin, apabila mendapat anak pertama, hampir setiap saat gambar itu diambil semasa membesar. Apabila mendapat anak kedua, hanya berpuluh-puluh keping gambar sahaja diambil. Apabila mendapat anak ketiga, bertambah kurang gambar anak yang diambil. Ini menunjukkan yang kita hanya bertindak di luar batasan pada peringkat awal. Oleh itu, lebih baik sekiranya kita dapat mengawal kewangan sebelum segalanya melepasi batasan kemampuan kita.

5. Kad Jemputan Majlis Perkahwinan

Untuk kad jemputan majlis raja sehari kita, bergantung pada berapa ramai jemputan kita. Sekiranya sekadar jiran seramai 40 orang hingga 150 orang, kita tidak perlu mencetak kad. Ini kerana, jiran terdekat di taman ataupun kampung kita sudah tahu di mana rumah kita berada. Mereka juga dapat mengingati tarikh kenduri kita tu.


Sekiranya kita ingin menjemput lebih daripada 200 orang, baru kad jemputan kahwin diperlukan. Ada antara individu yang kita jemput itu tidak pernah datang ke rumah kita ataupun sudah terlupa jalan ke rumah kita. Bilangan jemputan untuk majlis perkahwinan yang tidak membebankan kita adalah kurang daripada 300 orang. Jemput sebahagian individu yang penting bagi menghadiri majlis perkahwinan kita.

6. Elakkan Majlis Pada Musim Cuti Persekolahan Kurangkan Kos Perkahwinan

Sekiranya bajet tiada, elakkan melaksanakan majlis perkahwinan menjelang cuti persekolahan. Ini kerana, sewa khemah dan segala kos kahwin turut naik. Ini termasuk sewa bilik hotel atau rumah tumpangan, sekiranya pasangan kita berasal dari negeri yang lain daripada tempat kita tinggal.

Kita boleh mencari homestay atau rumah tumpangan bagi membiayai kos tempat tinggal berhampiran dengan rumah pasangan. Sekiranya majlis berlangsung pada cuti sekolah, lebih ramai tetamu jauh yang hadir. Ini sekali gus menambahkan lagi kos perkahwinan kita. Semak Belanja Kahwin Mimpi Ngeri Pengantin Lelaki.

7. Emas Dan Permata

Disiplinkan diri bagi membeli sebentuk cincin belah rotan (plain gold) untuk diberikan kepada pengantin perempuan sebagai ikatan pertunangan. Cincin dengan permata, sebaik-baiknya adalah cincin emas kuning kerana mempunyai nilai harga dan mudah digadai selepas berkahwin sekiranya terpaksa. Ini semua bergantung pada bajet perkahwinan kita.

Gelang ataupun rantai adalah tidak perlu, sekiranya kita tidak mempunyai duit yang banyak. Selepas berkahwin dan dapat mengumpul banyak duit, baru kita membeli dan mengumpul emas, berlian, dan permata untuk hiasan diri.


Sampai disini dulu perkongsian tips untuk bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan secara kos rendah. Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 2 akan aku kongsikan lagi 7 tips untuk kurangkan kos perkahwinan secara bijak. Ingatlah, alam perkahwinan bukan setakat di hari majlis perkahwinan, ianya adalah sesudah majlis perkahwinan itu dilangsungkan. Sekian, terima kasih.

Credit: http://sharafie.net/

Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 1 Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 1 Reviewed by Unknown on September 22, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.