Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 2 – Entri ini aku akan berkongsikan 7 lagi tips untuk kurangkan kos perkahwinan yang semakin hari semakin meningkat. Sedang korang membaca entri ini pasti pihak pengurusan majlis perkahwinan sedang berfikir untuk menaikkan lagi harga pakej perkahwinan yang mereka tawarkan.
Sebelum ini aku ada berkongsi Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 1. Jika korang belum membacanya aku syorkan baca entri tersebut terlebih dahulu sebelum meneruskan membaca entri ini. Tujuan perkongsian ini adalah bagi mengingatkan diri aku dan juga diri anda yang baru ingin mendaftarkan diri ke alam perkahwinan. Semoga dengan perkongsian ini dapatlah kita sama-sama mengurangkan kos perkahwinan dan simpan duit lebih untuk menghadapi dugaan selepas memasuki ke alam perkahwinan.
1. Elakkan Majlis Pertunangan Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan
Bunyi macam pelik tapi aku rasa sekrang ni sudah ramai menyedari perkara ini. Sekiranya kita dapat mengelakkan majlis pertunangan, itu adalah cara terbaik. Cukup pergi ke rumah pengantin perempuan untuk majlis pertunangan tertutup. Tetamunya pula terdiri daripada keluarga terdekat kedua-dua pihak yang hadir.
Mungkin dijemput juga jiran terdekat untuk lima hingga ke 10 orang sebagai saksi. Ini dapat mengelakkan banyak duit mengalir ke poket orang lain. Tukarkan majlis merisik itu menjadi majlis pertunangan. Jika ingin menjimatkan lagi, majlis merisik, majlis bertunang diadakan sekali semasa majlis pernikahan.
2. Duit Hantaran
Berbincang dengan bakal pasangan dan cari kata sepakat. Duit hantaran sebaik-baiknya digunakan bagi membeli rumah untuk pengantin perempuan, emas, dan juga membantu persiapan kahwin sedikit. Itu pun sekiranya ibu bapa pengantin perempuan tidak mempunyai wang. Bagi meraikan majlis perkahwinan itu, lebih baik dibuat secara ala kadar sahaja. Adakan majlis akad nikah sahaja, dan terus menjamu tetamu yang hadir. Tidak ada kenduri pada keesokan harinya.
Ini sememangnya membantu duit kita daripada membazir. Ini juga membantu kita menurunkan kadar wang hantaran kepada tahap yang minimum. Sekadar menjaga air muka pengantin perempuan dan keluarga, RM1000 hingga RM5000 adalah sudah mencukupi sekiranya mampu. Itu adalah kadar yang sesuai pada masa kini. Walaupun hakikatnya kebanyakan ibu bapa sekarang meminta wang hantaran perkahwinan sehingga RM10000 hingga RM20000 sedangkan anaknya masak nasi pun hangus.
3. Kenduri Secara Bergotong-royong Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan
Mintalah bantuan jiran tetangga ataupun orang kampung. Ini bagi membantu kita menyediakan juadah makanan untuk tetamu nanti. Bekerja secara bergotong-royong juga dapat menjimatkan kos perkahwinan kita, berbanding menggunakan katering. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak mampu, kita boleh mengupah tukang masak sahaja. Bahan mentah seperti ayam dan daging, disediakan oleh pihak kita.
4. Barang Hantaran Yang Kurangkan Kos Perkahwinan
Beritahu mengenai hantaran yang kita inginkan kepada ahli keluarga, termasuk adik-beradik, bapa saudara, ibu saudara, dan juga rakan sepejabat ataupun rakan kita yang lain. Kita menawarkan peluang kepada individu yang mahu membuat pahala dengan menaja satu ataupun lebih barang hantaran.
Senaraikan barangan yang diperlukan. Contohnya hantaran al-Quran, sejadah, kain sembahyang, dan lain-lain. Kita akan teruja apabila ramai individu yang menaja berbanding bilangan hantaran yang kita perlu sediakan. Tidak perlu membeli barangan yang berjenama. Cukup sekadar hantaran asas, kecuali keluarga kita dan bakal pasangan berasa tidak kisah.
Hapuskan hantaran yang kurang penting seperti baju, kasut, dan pewangi untuk pengantin lelaki. Kita juga dapat hadkan bilangan kepada lima hantaran sahaja, dan dibalas dengan tujuh hantaran.
5. Hiburan Perkahwinan Yang Kurangkan Bajet Perkahwinan
Kompang ataupun deejay tidak perlu diadakan sekiranya kita tidak mempunyai duit lebih. Ini kerana, sekiranya dibuat juga, banyak duit akan habis. Contohnya, daripada membayar deejay, sudah pasti kita dapat membeli mesin basuh secara tunai. Kompang mungkin boleh dipertimbangkan.
Cari bajet yang murah. Itu pun sekiranya kita mempunyai duit ekstra. Tanpa hiburan dalam majlis perkahwinan, hidup kita tetap bahagia. Tidak perlu bergaduh dengan pasangan perihal duit yang dibazirkan.
6. Berbulan Madu Gaya Tempatan Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan
Berbulan madu gaya tempatan dapat membantu kita memasuki keluarga mentua kita dengan selamat dan bahagia. Kos berbulan madu gaya tempatan adalah rendah, tetapi tinggi kualitinya.
Tiada hasil kajian yang mengesahkan, orang yang pergi berbulan madu menjadi pasangan yang lebih bahagia berbanding pasangan yang tidak meraikan bulan madu gaya barat. Apabila kita tinggal di hotel, kadang kala bulan madu itu juga menjadi asas kepada keretakan rumah tangga. Lelaki terutamanya, dapat memandang lebih banyak perempuan cantik dalam tempoh itu. Kebnyakannya bercuti di tepi pantai atau di tempat peranginan. Jangan sampai pasangan kita terdetik perasaan menyesal apabila melihat orang lain.
7. Baju Nikah Yang Kurangkan Bajet Perkahwinan
Sekiranya ada adik-beradik ataupun saudara terdekat yang sudah berkahwin, pinjamkan baju nikah ataupun baju perkahwinan mereka. Sekiranya sesuai, kita tidak perlu mengeluarkan duit bagi menempah baju yang mungkin di pakai sekali sahaja. Banyak baju nikah yang ditempah dengan harga ratusan ringgit, akhirnya menjadi koleksi di dalam almari di rumah ibu bapa kita sahaja.
Tahniah kepada pasangan pengantin yang hanya memakai baju Melayu dan baju kurung sepanjang majlis berlangsung. Ini mempamerkan, betapa kita hidup dalam dunia realiti, tanpa menjadi raja dalam dunia khayalan. Baju-baju Melayu dan kurung itu dapat digunakan semula ke tempat kerja ataupun menziarahi saudara-mara dan kenalan selepas majlis berakhir.
Tamatlah sudah perkongisan Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 2. In Shaa Allah di lain waktu akan aku kongsikan mengenai Wang Hantaran Perkahwinan daripada pihak pengantin lelaki kepada pihak pengantin perempuan. Semoga dengan sedikit perkongsian dapat kita sama-sama ingat mengingati antara satu sama lain. Aku sekarang sedang sibuk dengan macam² aktiviti di dunia realiti. Kekangan ini menyebabkan aku semakin jarang berkunjung ke laman blog 10 Blogger Terbaik Malaysia rakan-rakan. Ada masa aku akan singgah. Sekian, terima kasih.
Credit: http://sharafie.net/
Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan Bahagian 2
Reviewed by Unknown
on
September 22, 2017
Rating:
No comments: