HULU TERENGGANU - Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan seorang bapa anak dua dari Sungai Tong, Setiu yang begitu obses dengan laut sehingga mula menanam cita-cita sejak kecil untuk bekerja di lautan biru.
Malah, dek kerana minat itu jugalah, Mohd Nurr Fazahan Harun, 34, pernah kerugian RM1,000 akibat ditipu tawaran kerja offshore selain pernah tiga kali gagal temu duga untuk berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membolehkan dia mencari rezeki dalam kerjaya berkaitan laut.
Namun, siapa sangka dengan hanya sekeping sijil kursus selama tiga bulan di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMT) dalam bidang pemasangan paip gas diikutinya pada 2006 lalu, pemuda ini bukan sekadar menggapai impian bekerja di laut tetapi turut memperoleh pendapatan lumayan setiap bulan sehingga mampu mencecah RM20,000.
Berkongsi cerita, jurugegas kimpalan ini berkata, dapat bekerja di tengah laut memberinya satu kepuasan tersendiri dan dia sendiri hampir berputus asa serta melupakan niatnya untuk ceburi kerjaya berkaitan laut setelah melalui beberapa siri kegagalan ke arah itu.
"Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ambil kursus berkaitan elektrik dekat sebuah kolej di Negeri Sembilan.
"Sebelum ikuti kursus di ABMT juga saya pernah jadi juruteknik di beberapa tempat termasuk kilang dengan pendapatan ketika itu sekitar RM2,000," katanya.
Menurutnya, kerana minat untuk bekerja di laut juga dia pernah ditipu dengan tawaran kerja yang diiklankan dalam internet.
"Kerjaya sebagai TLDM juga tak memihak pada saya bila tiga kali gagal temuduga dan rasakan impian bakal terkubur begitu saja.
"Pertemuan dengan seorang kawan sekolah bagaikan bawa sinar baru bila abang iparnya yang berpengalaman dalam bidang pemasangan paip gas ini cadangkan saya ikuti kursus di ABMT sekali gus membolehkan saya untuk kerja di laut," katanya.
Bagi merealisasikan impiannya itu juga dia meninggalkan kerjaya sebagai juruteknik bagi mengikuti kursus di ABMT selama tiga bulan sekitar 2006 lalu.
Tambah Mohd Nurr Fazahan, selepas tamat kursus dia memulakan kerjaya dalam bidang berkenaan di Kemaman dengan gaji permulaan sekitar RM3,000 dan hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu kegembiraan serta kepuasan dirasakannya kerana impian bekerja di laut menjadi kenyataan hinggakan ia melebihi segala-galanya.
"Bidang tugas saya turut merangkumi jurugegas besi dan selepas lima bulan tamatkan kursus, saya berpeluang kerja di Dubai selama tiga bulan dengan gaji mampu mencecah sehingga RM8,000 sebulan dan peluang itu diperoleh selepas kali kedua hadiri temuduga untuk ke sana," katanya.
Malah katanya, hasil ilmu yang diperoleh di ABMT dan pengalaman kerja, sehingga kini dia berpeluang merantau mencari rezeki di beberapa tempat di luar negara termasuk Qatar, Holland, Norway, Turkmenistan dan Madrid.
"Alhamdulillah, gaji diperoleh sekitar belasan ribu dan mampu cecah RM20,000. Saya puas dapat bekerja di laut.
“Pengalaman bekerja dengan kompeni luar banyak ajar agar sentiasa fokus dan bersungguh-sungguh serta tiada istilah curi tulang. Kualiti kemahiran orang Asia juga sebenarnya lebih baik berbanding orang Eropah,” ujarnya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/
Gapai impian bekerja di laut
Reviewed by Unknown
on
October 04, 2017
Rating:
No comments: