banner image

Terkejut terpilih jadi jutawan


SABAK BERNAM - Setiausaha Masjid Kampung Ubudiah, Kampung Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar, di sini, menggesa sebuah syarikat telekomunikasi terkenal di negara ini menyiasat penyebaran maklumat palsu yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kononnya menjanjikan hadiah lumayan.

Roslee Hashim, 50, berkata, penyebaran maklumat palsu itu dikirimkan individu tidak bertanggungjawab ke akaun WhatsApp peribadinya sebanyak dua kali.

Menurutnya, kali pertama dia menerima kiriman mesej itu pada 27 September lalu pada jam 4.26 pagi.


“Bila buka WhatsApp saya terkejut sebab dapat mesej kononnya sim kad saya terpilih dan berjaya jadi jutawan 2017 dan menang bonus ganjaran daripada sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya.

Roslee berkata, dia sekali lagi menerima pesanan WhatsApp daripada syarikat telekomunikasi yang sama tiga hari selepas itu.

“Antara kandungan mesejnya mengatakan kononnya sim kad saya berjaya dapat bonus tambah nilai berjumlah RM7,000,” katanya.

Roslee berkata, syarikat telekomunikasi terbabit diminta menyiasat perkara itu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenangnya menghantar kiriman WhatsApp menggunakan alamat syarikat telekomunikasi terbabit.

“Saya yakin ini adalah taktik penipuan terancang dan kita bimbang ada dalam kalangan pengguna yang terpedaya seperti mana kes-kes penipuan sebelum ini,” katanya.

Malah, katanya, seorang anak perempuannya berusia 12 tahun turut menerima kandungan maklumat palsu itu sebulan lebih awal.

“Bila saya dapat mesej ni, anak saya maklumkan dia pun pernah terima mesej sama sebelum ni. Nasib baik dia tak tuntut apa-apa,” katanya.

Katanya, perkara itu diceritakan kepada seorang rakannya dan secara kebetulan anak rakannya itu turut menerima kandungan pesanan yang hampir sama dengan menggunakan nama syarikat telekomunikasi terbabit.

“Mengikut mesej terbabit anak rakan saya terpilih pemenang hadiah ketiga dengan memenangi wang tunai berjumlah RM9,000.  Pihak itu juga tunjukkan cara-cara bagaimana tuntut hadiah, tetapi apa yang diarahkan itu amat meragukan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai terutama golongan remaja dinasihatkan agar tidak terpedaya.

“Modus operandi mereka berubah-ubah. Kalau dulu, mereka guna nama stesen minyak guna SMS, sekarang guna WhatsApp kononnya daripada syarikat telekomunikasi,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/
Terkejut terpilih jadi jutawan Terkejut terpilih jadi jutawan Reviewed by Unknown on October 04, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.