banner image

REMAJA INI TERPAKSA BERHENTI SEKOLAH AKIBAT DESAKAN HIDUP.. MARILAH KITA BANTU MEREKA

Nurul Shakira (kanan) bersama adik beradik dan sepupunya bersama Rokiah (empat kiri).

LABIS - Remaja 16 tahun ini terpaksa pasrah dengan nasib dirinya apabila dia perlu buat keputusan paling sukar dalam hidup, berhenti sekolah ketika di tingkatan satu akibat desakan hidup.

Nurul Shakira Nizar dan empat lagi adik beradiknya OKU menumpang kasih neneknya, Rokiah Md Jim, 66 yang tidak lagi mampu bekerja setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia.

Selain itu, tiga sepupu mereka juga menumpang di rumah sama.

"Saya terpaksa berhenti sekolah ketika tingkatan satu dan berulang-alik menunggang motosikal menghantar serta menjemput dua adik dan  tiga sepupunya ke sekolah," katanya.

Katanya, walaupun sedar terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko seperti kemalangan dan disaman kerana tidak memiliki lesen, dia tiada pilihan lain kerana arwah bapanya hanya meninggalkan dua motosikal kepada keluarganya.

“Walaupun terpaksa ikat perut, saya bertekad untuk menjaga ahli keluarga dan bercadang mencari kerja sambilan untuk menampung kehidupan. Saya tak mahu berpisah dengan adik-beradik saya.

“Walaupun dah biasa dengan kesusahan hidup, saya tak mahu menjadikan alasan ketiadaan ayah dan ibu serta kesempitan hidup sebagai alasan untuk kami dipisahkan. Diharap ada pihak yang prihatin akan nasib keluarga kami ni,” katanya.

Katanya, empat adiknya di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Air.

Neneknya yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan belas ihsan masyarakat kampung dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sahaja.

Rokiah yang tinggal di Kampung Sawah Baru, di sini, memikul tanggungjawab besar apabila perlu menjaga seorang anak, lima cucu dan dua anak saudara arwah menantunya  seorang diri.

Warga emas ini berkata, kehidupan mereka sekeluarga mula terumbang-ambing selepas menantunya, Nizar Harun meninggal dunia dua tahun lalu, sebelum tanggungjawab itu dipikul anaknya, Zanariah Alwi, 37.

“Kehidupan makcik bertambah sukar selepas Zanariah pula meninggal dunia minggu lalu akibat barah usus. Sebelum ni makcik dan mereka yang ada di rumah ini banyak bergantung kepada dia (Zanariah).

“Masa hayatnya, Zanariah juga tak bekerja dan dia hanya terima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebanyak RM800, manakala makcik pula RM450,” katanya.

Rokiah yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) juga terpaksa berhimpit di rumah tersebut bersama lapan lagi yang lain.

Katanya, kembar Zanariah, Suzana mengalami masalah lembam, manakala empat cucunya pula orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan hanya anak kedua Zanariah, Nurul Shakira, 16, yang normal.

“Ketika ni tak ada seorang pun dalam rumah ni yang boleh bekerja mencari rezeki kerana lima daripadanya masih bersekolah. Makcik buntu fikirkan nasib mereka sekiranya makcik meninggal dunia.

“Semua urusan seperti hantar dan jemput cucu yang masih bersekolah di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Air Panas kira-kira lima kilometer dilakukan Nurul Shakira,” katanya.

Katanya, beban sedia ada ditambah dengan tanggungjawab membesarkan dua anak saudara Nizar yang tinggal bersama mereka selepas ibu kanak-kanak tersebut yang tinggal di Johor Bahru tidak mampu menjaga mereka kerana kesempitan hidup.

“Selepas Nizar meninggal dunia, makcik juga tak dapat hubungi ibu dua kanak-kanak itu selain tak ada pilihan lain, kena jaga mereka dalam keadaan serba kekurangan.

“Makcik bukan tak mahu jaga mereka berdua, tapi mereka sepatutnya dapat peluang untuk membesar dalam keadaan lebih sempurna, bukan dalam keadaan serba kekurangan seperti ni," katanya.

Menurut Rokiah, dia harap pihak berkaitan seperti JKM dan Baitulmal dapat melihat sendiri kesusahan kami dan kaji semula jumlah bantuan yang diberikan ketika ini, sebab jumlah itu memang tak cukup.

Sumber: http://www.gpsbestari.com/
REMAJA INI TERPAKSA BERHENTI SEKOLAH AKIBAT DESAKAN HIDUP.. MARILAH KITA BANTU MEREKA REMAJA INI TERPAKSA BERHENTI SEKOLAH AKIBAT DESAKAN HIDUP.. MARILAH KITA BANTU MEREKA Reviewed by Unknown on October 04, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.